BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, August 19, 2010

PILIHLAH JALAN Bahagia

PILIHLAH JALAN BAHAGIA

Untuk sihat dan bahagia, 10 tip atau petua boleh diamalkan:

1. BERIMAN
Satu hadis dari Muslim, dari Abu yahya Shuhaib Ibn Sinan , katanya, Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bermaksud:"Memang sangat menghairankan keadaan orang mukmin kerana segala urusannya mendatangkan kebaikan kepada dirinya dan ini tidak berlaku kecuali bagi orang yang beriman. Apabila beroleh kesenangan dia bersyukur, maka yang demikian itu adalah kebaikan kepadanya. Dan apabila ia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka pada yang demikian itu juga kebaikan kepadanya".

2. JANGAN SIBUKAN DIRI DENGAN MASA DEPAN
Masa depan masih berada di alam ghaib. Jangan terlalu risau memikirkannya, kerana ia akan datang jua dengan izinNya. Firman Allah: "Ketahuilah!, bahawa wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak berdukacita",(Yunus, 62).
Maksud tiada kebimbangan adalah tiada kebimbangan terhadap perkara-perkara yang belum berlaku. Manakala maksud, tiada berdukacita, adalah bererti- tiada susah hati pada perkara yang sudah berlalu.

3. LUPAKAN MASA LALU
Semua yang telah berlaku disebabkan perhatian yang terpaku kepada peristiwa silam, merupakan suatu kebodohan dan kegilaan.

4. QADAK DAN QADAR
Pelu disedari bahawa setiap sesuatu yang berlaku adalah di dalam ketentuan Allah S.W.T.

5. Jangan terlalu mengharap ucapan terima kasih daripada manusia (orang lain).

6. HAKIKAT SESUATU
Semua yang berlaku pada diri kita pada hakikatnya adalah yang terbaik pada neraca pandangan Allah.

7. Ingatlah, bahawa sesungguhnya, pada setiap KESUSAHAN itu ada KEMUDAHAN/KESENANGAN.

8. JANGAN BERPUTUS ASA ATAU KECEWA
Jangan cepat atau lekas berputus asa atau kecewa dikeranakan perkara-pwrkara yang remeh-temeh. Kerana syaitan amat suka kepada orang yang putus asa, kerana boleh dijadikan kawan seiring sejalan masuk ke neraka Allah, nauzubillah.

9. BERZIKIR
Berzikirlah kepada Allah S.W.T. dengan sebanyak-banyaknya, nescaya anda akan memperoleh ketenangan dan kedamaian hati sebagaimana firman Allah:"Orang yang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Bahawa ketahuilah, sesungguhnya dengan ingat kepada Allah, hati manusia akan tenang dan tenteram"(Al-Ra'd: 28).

10. BERTAQWA
Jalan keluar kepada semua penyelesaian permasalahan sentiasa terbuka dengan syarat BERTAQWALAH kepada Allah. Firman Allah:"Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyempitkan dan menyusahkan perjalanan hidupnya), serta memberikannya rezeki dari jalan-jalan yang tidak terlintas dihatinya".(Al-Talaq: 2-3).

Friday, July 30, 2010

Antara fikir dan zikir: sejenak merenung......

Allah S.W.T. memberikan rahmat dan kurnianya kepada sesiapa yang dikehendaknya. Allah menyelamatkan hambanya dari penindasan, penginayaan dan kezaliman. Allah juga yang memberikan kasih sayang dan kesejahteraan kepada sesiapa yang berada di alam semesta ini. Namun begitu Allah Azza Wajalla menjadikan doa sebagai perantara untuk mengubah takdir, sehingga setiap insan yang merindui kebenaran Illahi memohon dan bermunajat mengharapkan keampunan dan keredhaan daripadaNya. Rasulullah menjadikan doa sebagai senjata yang ampuh dan kubu yang kukuh serta tempat berteduh disaat suka dan duka. Maka selayaknyalah kita mengikut jejak langkah Rasul dalam bermohon dan berdoa kepada Illahi.

Dalam menghadapi kehidupan yang serba mewah dan canggih ini, ramai manusia tidak mampu membezakan garis pemisah antara kebenaran dan kekeliruan. Bagi jiwa yang tidak mendapat nur hidayah atau cahaya petunjuk, mereka menganggap kebenaran itu bagai ranjau-ranjau yang berduri. Sebaliknya, mereka merasakan bahawa kesesatan dan kekeliruan itu bagaikan taman indah yang dipenuhi dengan bunga-bunga yang berwarna-warni.

Para hamba Allah adalah mereka yang patuh dan sujud hanya kepada Allah S.W.T. Jiwanya merindui kebenaran, keperibadiannya indah dan mulia, lidahnya hanya menyebut yang haq, tidak berkata melainkan kebenaran semata. Sebaliknya hamba syaitan itu tidak mampu membezakan antara kilauan permata dan sinaran kaca. Bagi mereka kesesatan itu bagaikan meneguk air ketika dahaga. Firman Allah: "Perbandingan kedua golngan itu iaitu orang-orang kafir dan orang-orang mukmin, seperti orang buta tuli dengan orang yang dapat melihat dan mendengar"(HUD: 24).

Iman menumbuhkan tunas semangat dalam setiap langkah dan perjuangan seorang insan kerana ia merupakan cahaya makrifatullah yang menguak tabir hitam dalam kalbu. Dari situ tumbuh subur cita-cita dan harapan kerana sesungguhnya kehidupan ini merupakan kumpulan keinginan dan hasrat untuk memperolehi kebahagiaan. Bagi insan yang berpegang pada dahan yang kukuh, maka ia akan memperoleh kenikmatan untuk berpaut dan berteduh.

Rasa rindu yang mendalam mencengkam dalam relung hati insan yang memperoleh nur hidayah. Segenap jiwa dan raga tertumpu kepada harapan untuk memperoleh redha Allah dan gementar dengan kemurkaanNya. Sesungguhnya bertaqarrub kepada Illahi, dengan panduan dan pedoman yang diberikanNya akan menjadikan seseorang sentiasa berada di atas jalan yang lurus.

Tiada kenikmatan yang lebih bererti melainkan dapat menikmati kelazatan dan kemanisan dalam bermujahaddah kepada Allah dengan menempuh jalanNya. Semuga belum terlambat untuk kita berusaha segenap upaya dengan harapan beriring doa bagi menggolongkan diri sebagai hamba dan kekasih Allah, insan terpimpin dan terpilih sebagai penghuni taman syurgawi di akhirat kelak.

Sunday, June 6, 2010

Siapakah yang memperkenankan Doa orang yang Dalam Kesulitan, Apabila dia berdoa PadaNya".

Siapakah yang akan menghilangkan petaka dan mara bahaya? Siapakah yang dipohon pertolongannya ketika petaka dan mara bahaya datang? Siapakah yang dirayu perlindungannya oleh sekalian makhluk? Kepada siapakah manusia akan kembali? Kepada siapakah manusia meminta? Siapakah yang selalu diingat oleh manusia? Siapakah dia yang Maha Esa?

Cuba lontarkan segala persoalan-persoalan tersebut ke lubuk kalbu kita. Cuba telusuri segala persoalan itu dengan minda yang tenang, agar dapat kita temui segala jawapannya. Andai itu boleh kita lakukan, nescaya kita akan lebih mengerti siapa diri kita dan untuk apa kita dihadirkan ke dunia ini.

Dia adalah Allah yang tiada Tuhan selainNya. Merupakan kewajipan kita semua untuk selalu berdoa dan meminta kepadaNya baik dalam keadaan terhimpit atau pun lapang, senanag atau susah. Kita meminta bantuanNya agar dia menghindarkan kita dari kebingungan, meminta bantuanNya ketika ada bencana dan bergabung bersama orang yang memohon dengan penuh tangis dan harap di pintuNya untuk mendapatkan keampunan dan rahmatNya.

Ketika itu, akan datang kepada kita bantuannya, akan datang pertolongannya, akan datang kepada kita kelapangan daripadaNya. Dia akan menghamparkan jalan keluar bagi kita, menyelamatkan kita, mengembalikan yang hilang, menghilangkan segala mara bahaya, membantu yang dizalimi, mengembalikan yang tersesat, menyembuhkan yang sakit dan melapangkan yang susah. Firman Allah: "Maka apabila mereka naik kapal, mereka berdoa kepada Allah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya"(Al-Ankabut: 65).

Saya tidak akan menyusun satu persatu untaian doa-doa untuk menghilangkan segala kecemasan, kegundahan dan kesedihan anda. Cukuplah anda sendiri cari lafaz-lafaz doa dari Al_Quran dan hadis yang banyak dibukukan yang dijual di kedai-kedai toko buku. Ataupun anda berdoa menggunakan bahasa anda sendiri yang anda faham ertinya, kerana Allah itu Maha Tahu semua bahasa manusia.

Jika anda menemukan jalan menuju Allah, ini bermakna anda telah menemukan segala-galanya. Namun jika anda kehilangan keimanan dalam diri anda, itu ertinya anda telah kehilangan segala-galanya. Demikianlah hakikatnya. Demikianlah yang harus kita selalu ingat dan insafi pada setiap perjalanan hidup kita di muka bumi ini.

Jika anda menyeru Tuhan anda, itu sudah merupakan salah satu bentuk ibadah dan ketaatan merupakan cara kedua untuk mendapatkan apa yang anda inginkan. Seseorang bebas untuk berdoa, tanpa rasa takut, cemas, sedih dan merasakan tekanan. Firman Allah: "Katakanlah: Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapka Allah untuk kami. Dialah pelindung kami dan hanya kepada Allah orang-orang yang beriman itu harus bertawakkal".(AT-Taubah: 51).

Setiap tali akan putus kecuali tali Allah. Setiap pintu akan tertutup kecuali pintu menuju Allah. Setiap jalan akan roboh kecuali jalan yang melorongkan kita kepada Allah. Setiap jambatan akan runtuh kecuali jambatan yang menghubungkan kita dengan Allah. Allah adalah Tuhan yang Maha Dekat, Maha Menjawab permintaan hambaNya dan Maha Mendengar. Firman Allah:"Atau siapakah yang memperkenankan (doa) orang yang dalam kesulitan apabila ia berdoa kepadaNya. Dan yang menghilangkan kesusahan",(An-Naml: 62).

Dia menyuruh kita yang lemah, fakir dan selalu memerlukannya untuk berdoa kepadaNya Yang Maha Kaya, Maha Kuat dan Maha Mulia. Ini kerana upaya yang kita miliki selamanya terhad. Segala tenaga yang kita miliki selamanya bersempadan. Segala kebijaksanaan yang kita miliki selamanya terbatas. Segalanya tidak boleh menjanjikan apa-apa kepada kita melainkan diiringi izin dan perkenanNya. Justeru, mohonlah kepadaNya setelah segala usaha dan ikhtiar kita lakukan sehabis kemampuan kita. Jangan sesekali lupa untuk berdoa dan bermohon kepadanya kerana itu tanda betapa kita sentiasa menginsafi tentang kekuasaan dan keagunganNya. Firman Allah: "Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Ku perkenankan bagimu". (Ghafir; 60).

Jika kesusahan telah hilang, jika kebahagiaan telah datang maka berzikirlah selalu kepadaNya, memujinya tanda kita bersyukur dan berterima kasih di atas segala pertolongan dan kurniaanNya. Mintalah bantuanNya, mohonlah pertolonganNya, sentuhkanlah kening anda di hamparan sejadah untuk memuliakanNya, sentuhkanlah hidung anda ke tanah bersujud sebagai tanda penghambaan diri kepadaNya. Semua ini bertujuan agar anda mendapatkan kejayaan yang lebih besar. Bentangkanlah tangan anda, angkatlah kedua telapak tangan anda, gerakkanlah lidah anda, perbanyakkanlah permintaan kepadaNya kerana dia menyukai jika hambaNya berbuat demikian. Berdirilah di muka pintuNya, saksikanlah kelembutanNya, berbaik sangkalah kepadaNya, melangkahlah selalu kepadaNya hingga anda benar-benar hampir denganNya lantas mendapat kebahagiaan dan kejayaaan dalam hidup anda di dunia dan akhirat.

Saturday, May 22, 2010

katakanlah: "BERJALANLAH di MUKA BUMI..."

Antara cara melapangkan dada dan menghapus kesusahan adalah dengan bermusafir menuju desa ke desa, menempuh wilayah baru, melawat kota dan mengamati alam yang terbentang luas. Berjalan mengembara di muka bumi Allah ini boleh memberikan keinsafan kepada diri tentang kehebatan dan keagungan Allah. Hal ini dapat kita bina dalam diri dengan menyaksikan keagungan dan kekuatan yang digunakan untuk menuliskan ayat-ayat yang begitu indah di lembaran-lembaran alam. Saksikan kebun-kebun yang begitu indah dan taman-taman yang anggun serta kehebatan ciptaan yang melata di muka bumi ini dengan hati yang sentiasa menginsafi hakikat kejadian kita sebagai hambaNya.

Keluarlah dari rumah anda dan amatilah apa yang ada di sekeliling anda, di depan dan di belakang anda. Dakilah gunung-gunung, turunilah lembah-lembah, panjatlah pepohonan, teguklah air yang jernih dan letakkanlah hidung anda di pepohonan yang wangi. Saat itu juga anda akan merasakan roh berterbangan bagaikan burung yang bernyanyi gembira. Keluarlah dari rumah anda, singkaplah tabir hitam yang menutup kedua mata anda dan kemudian berjalanlah di muka bumi Allah yang sangat luas ini seraya berzikir dan bertasbih.

Menyendiri di ruangan yang sempit dengan kekosongan jiwa merupakan cara ampuh untuk bunuh diri. Kamar anda bukanlah alam dan anda bukanlah manusia yang lain. Kenapa anda membiarkan diri anda berenang dalam lautan kesedihan. Bukalah mata, pendengaran dan hati anda. Biarkan segalanya mencicip keagungan ciptaan Illahi ini. Mudah-mudahan ia boleh meneguhkan lagi tugu keimanan dan benteng ketaqwaan di dalam diri kita. Lantas ia akan mendekatkan lagi kita kepada Allah, lewat kembara kita dalam mencari keredhaanNya. Firman Allah:"Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan maupun berat" (Taubah: 41).

Lantunkanlah ayat-ayat Al-Quran di sepanjang perjalanan anda, antara burung-burung yang menyanyikan lagi cinta dan air yang menceritakan kisah perjalanannya dari anak bukit. Biarkan ayat-ayat suci itu menjadi irama indah yang mengiringi setiap jejak katih perjalanan kita.

Melalui perjalanan di hamparan bumi ini merupakan wasiat para doktor terhadap orang-orang yang mengalami tekanan jiwa dan orang yang merasa ruangan yang dihuninya begitu sempit. Maka marilah kita melakukan perjalanan agar kita bahagia, berfikir dan mentadabburi firman Allah bermaksud:"Dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata):"Ya Tuhan Kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa api neraka",(Al-Imran: 191).

Sunday, May 16, 2010

Solat! Solat!! Solat !!!

Allah berfirman: "Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar" (Al-baqarah: 153).

Apabila ketakutan melanda perasaan, kesedihan menyerbu anda dan kegelisahan menyelimuti anda, maka bersegeralah berdiri untuk melakukan solat. Dengan izinNya, jiwa anda akan menjadi tenteram dan hati anda akan kembali damai. Ini kerana, solat merupakan wadah terbaik untuk menghancurkan bangunan kesedihan dan kegelisahan. Rasulullah bila ditimpa kesedihan, baginda akan berkata:"Istirehatkanlah kami dengan solat wahai Bilal".

Betapa solat itu adalah pintu ketenangaan tidak boleh dinafikan. Betapa hakikatnya solat itu adalah penawar paling mujarab untuk menyingkirkan segala perasaan negatif yang melanda jiwa. Solat merupakan penglipur lara dan inspirasi kebahagiaan baginda Nabi. Kita lihat bahawa Allah mensyariatkan solat khauf ketika ketakutan menghampiri kita. Begitu pun ketika kita diserang oleh musuh dan nyawa kita berada di hujung pedang. Dengan demkian kita akan mendapatkan kekuatan, ketenangan dan keredhaan dariNya.

Jadi, hendaklah seseorang yang mengalami tekanan jiwa selalu mendekatkan diri dengan masjid dan selalu meletakkan dahinya di tempat sujud agar dia mendapat redha Tuhannya dan jiwanya terbebas daripada siksaan batin yang menghimpit. Jika tidak, maka air mata akan selalu menggenangi kelopak mata dan kesedihan akan selalu meliputi urat saraf. Seseorang tidak akan memiliki kekuatan yang akan menghantarkan nya kepada ketenangan dan rasa aman kecuali dengan solat.

Nikmat yang paling besar jika kita menyedarinya adalah solat lima waktu sehari semalam. Ia merupakan sarana penghapus dosa-dosa kita dan akan mengangkat darjat kita. Solat juga akan memperbaiki keadaan diri kita, memberikan rasa aman dan ketenangan kepada kita, lantas merupakan penawar terbaik untuk diri kita dan jiwa kita agar terhindar daripada pelagai penyakit fizikal mahupun hati. Solat juga akan memberi keyakinan kepada kita. Justeru, hampirkanlah diri kita dengan masjid lantas jadikanlah solat amalan rutin agar segala fadhilatnya dapat meresap ke seluruh jasad dan jiwa kita.

Adapun mereka yang menjauhi masjid dan meninggalkan solat, maka mereka akan selalu berpindah dari satu kegelisahan kepada kegelisahan lain, dari satu kesedihan kepada kesedihan lain dan dari satu kesulitan kepada satu kesulitan lainnya. justeru, hakikat solat itu tiang agama memang jelas. Dengan solat hidup beragama kita dapat disempurnakan. Juga melalui solat, jasad dan roh kita dapat mencapai ketenangan dan terhindar daripada segala perkara negatif. Lantas jasad akan sentiasa cergas, minda akan sentiasa cerdas dan roh akan sentiasa mapan.

Saturday, May 1, 2010

Kisah Pramugari dan ULAMA...

Seorang ulama sedang berada di atas sebuah kapal terbang untuk ke sebuah negeri. Apabila tiba waktu sembahyang, dia pun (ulama)ke tandas untuk berwuduk (mengambil air sembahyang). Oleh kerana tandas di dalam kapal terbang terlalu kecil, maka beliau terpaksa membuka pintu tandas itu semasa berwuduk. Sedang beliau mengangkat salah satu daripada kakinya ke sinki, seorang pramugari yang cantik telah ternampak perbuatan ulama itu dan menegurnya.

Maka terjadilah dialog berikut.

PRAMUGARI: (Dengan suara yang agak keras). Tuan tidak boleh masukkan kaki ke dalam sinki itu, sebab akan mengotorkan sinki. Ini tempat basuh muka, bukan basuh kaki!!!

ULAMA: (dengan suara lembut dan penuh rendah diri). Berapa kali saudari cuci muka saudari dalam sehari?

PRAMUGARI: (Dengan lagak angkuh).Huh!! Dua atau tiga kali sehari!!!

ULAMA: (Dengan sifat bersahaja). Saya mencuci kaki lima kali dalam sehari, bererti kaki saya lebih bersih dari muka saudari!!!.

Wednesday, April 14, 2010

Kesulitan Mengawal Hati

"Manusia asyik mencari yang indah dan sempurna sedangkan kesempurnaan hanya ada pada Allah. Selagi tidak nampak kesempurnaan Allah, selagi itu hati tidak akan lapang"

ANGGAPLAH YANG pahit sebagai ubat. Badan tidak akan sihat tanpa ubat. Anggaplah yang manis sebagai minuman air buah-buahan yang menghilangkan dahaga dan menyegarkan badan. Anggapan seperti ini boleh menghapuskan rasa cemas akan ujian dan melahirkan rasa syukur dengan nikmat dan kemenangan.

Di dalam hidup ini, jihadun nafs (jihad melawan nafsu)sangat penting. Maksudnya, mengawal hati daripada tersasul dengan perasaan-perasaan yang salah seperti rasa kecewa apabila gagal dan perasaan bangga diri apabila berjaya.

Mengawal hati lebih sulit daripada mengawal kerbau dan lembu. Hati itu bertukar-tukar dan berbolak-balik seperti balak di tengah laut di pukul ombak. Mana pernah diam. Sepatutunya 90% daripada fikiran kita difokuskan kepada gerakan hati. Hati itu hanya dapat dikawal dengan ilmu berperantaraan akal fikiran. Ilmu adalah lampu penyuluh akal fikiran yang mengemudikan hati ke destinasi yang tepat iaitu hingga bertemu dengan Tuhannya.

Hati yang sentiasa bertemu muka dengan Tuhannya tidak akan memandang akan yang lain kerana yang lain daripada Tuhan serba kekurangan dan kecacatan. Allah sahaja yang Maha Indah dan Maha Sempurna.

Dalam hidup ini manusia ingin mencari yang indah dan yang sempurna. Manusia tidak akan bertemu dengan ini semua. Manusia akan melihat kepada yang lain, yang serba kekurangan. Manusia hanya akan bertemu kesempurnaan itu pada Allah yang bersifat Jamal dan Kamal.

Bila sudah bertemu dengan yang paling sempurna dan paling indah, manusia tidak berkehendak kepada yang lain lagi. Sudah cukup dengan itu saja. Segala kekurangan dalam hidup tidak jadi masalah. Hal inilah yang membuahkan qannah dan zuhud. Barang siapa kenal diri, akan kenal Tuhannya. Barang siapa yang kenal dunia, akan zuhud daripadanya.

Zuhud itu ialah sunyi hati daripada terpaut dengan dunia. Hatinya sepi terhadap dunia seperti sepinya waktu jauh malam dan dinihari, bagaikan tiada berlaku apa-apa. Suasana hati seperti inilah yang dicari oleh orang dunia dan orang akhirat, tetapi yang dapat mencapainya hanya segolongan kecil sahaja iatu ahli zuhud. Wallahu a'lam.