BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, April 14, 2010

Kesulitan Mengawal Hati

"Manusia asyik mencari yang indah dan sempurna sedangkan kesempurnaan hanya ada pada Allah. Selagi tidak nampak kesempurnaan Allah, selagi itu hati tidak akan lapang"

ANGGAPLAH YANG pahit sebagai ubat. Badan tidak akan sihat tanpa ubat. Anggaplah yang manis sebagai minuman air buah-buahan yang menghilangkan dahaga dan menyegarkan badan. Anggapan seperti ini boleh menghapuskan rasa cemas akan ujian dan melahirkan rasa syukur dengan nikmat dan kemenangan.

Di dalam hidup ini, jihadun nafs (jihad melawan nafsu)sangat penting. Maksudnya, mengawal hati daripada tersasul dengan perasaan-perasaan yang salah seperti rasa kecewa apabila gagal dan perasaan bangga diri apabila berjaya.

Mengawal hati lebih sulit daripada mengawal kerbau dan lembu. Hati itu bertukar-tukar dan berbolak-balik seperti balak di tengah laut di pukul ombak. Mana pernah diam. Sepatutunya 90% daripada fikiran kita difokuskan kepada gerakan hati. Hati itu hanya dapat dikawal dengan ilmu berperantaraan akal fikiran. Ilmu adalah lampu penyuluh akal fikiran yang mengemudikan hati ke destinasi yang tepat iaitu hingga bertemu dengan Tuhannya.

Hati yang sentiasa bertemu muka dengan Tuhannya tidak akan memandang akan yang lain kerana yang lain daripada Tuhan serba kekurangan dan kecacatan. Allah sahaja yang Maha Indah dan Maha Sempurna.

Dalam hidup ini manusia ingin mencari yang indah dan yang sempurna. Manusia tidak akan bertemu dengan ini semua. Manusia akan melihat kepada yang lain, yang serba kekurangan. Manusia hanya akan bertemu kesempurnaan itu pada Allah yang bersifat Jamal dan Kamal.

Bila sudah bertemu dengan yang paling sempurna dan paling indah, manusia tidak berkehendak kepada yang lain lagi. Sudah cukup dengan itu saja. Segala kekurangan dalam hidup tidak jadi masalah. Hal inilah yang membuahkan qannah dan zuhud. Barang siapa kenal diri, akan kenal Tuhannya. Barang siapa yang kenal dunia, akan zuhud daripadanya.

Zuhud itu ialah sunyi hati daripada terpaut dengan dunia. Hatinya sepi terhadap dunia seperti sepinya waktu jauh malam dan dinihari, bagaikan tiada berlaku apa-apa. Suasana hati seperti inilah yang dicari oleh orang dunia dan orang akhirat, tetapi yang dapat mencapainya hanya segolongan kecil sahaja iatu ahli zuhud. Wallahu a'lam.

0 comments: