BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS �

Friday, July 30, 2010

Antara fikir dan zikir: sejenak merenung......

Allah S.W.T. memberikan rahmat dan kurnianya kepada sesiapa yang dikehendaknya. Allah menyelamatkan hambanya dari penindasan, penginayaan dan kezaliman. Allah juga yang memberikan kasih sayang dan kesejahteraan kepada sesiapa yang berada di alam semesta ini. Namun begitu Allah Azza Wajalla menjadikan doa sebagai perantara untuk mengubah takdir, sehingga setiap insan yang merindui kebenaran Illahi memohon dan bermunajat mengharapkan keampunan dan keredhaan daripadaNya. Rasulullah menjadikan doa sebagai senjata yang ampuh dan kubu yang kukuh serta tempat berteduh disaat suka dan duka. Maka selayaknyalah kita mengikut jejak langkah Rasul dalam bermohon dan berdoa kepada Illahi.

Dalam menghadapi kehidupan yang serba mewah dan canggih ini, ramai manusia tidak mampu membezakan garis pemisah antara kebenaran dan kekeliruan. Bagi jiwa yang tidak mendapat nur hidayah atau cahaya petunjuk, mereka menganggap kebenaran itu bagai ranjau-ranjau yang berduri. Sebaliknya, mereka merasakan bahawa kesesatan dan kekeliruan itu bagaikan taman indah yang dipenuhi dengan bunga-bunga yang berwarna-warni.

Para hamba Allah adalah mereka yang patuh dan sujud hanya kepada Allah S.W.T. Jiwanya merindui kebenaran, keperibadiannya indah dan mulia, lidahnya hanya menyebut yang haq, tidak berkata melainkan kebenaran semata. Sebaliknya hamba syaitan itu tidak mampu membezakan antara kilauan permata dan sinaran kaca. Bagi mereka kesesatan itu bagaikan meneguk air ketika dahaga. Firman Allah: "Perbandingan kedua golngan itu iaitu orang-orang kafir dan orang-orang mukmin, seperti orang buta tuli dengan orang yang dapat melihat dan mendengar"(HUD: 24).

Iman menumbuhkan tunas semangat dalam setiap langkah dan perjuangan seorang insan kerana ia merupakan cahaya makrifatullah yang menguak tabir hitam dalam kalbu. Dari situ tumbuh subur cita-cita dan harapan kerana sesungguhnya kehidupan ini merupakan kumpulan keinginan dan hasrat untuk memperolehi kebahagiaan. Bagi insan yang berpegang pada dahan yang kukuh, maka ia akan memperoleh kenikmatan untuk berpaut dan berteduh.

Rasa rindu yang mendalam mencengkam dalam relung hati insan yang memperoleh nur hidayah. Segenap jiwa dan raga tertumpu kepada harapan untuk memperoleh redha Allah dan gementar dengan kemurkaanNya. Sesungguhnya bertaqarrub kepada Illahi, dengan panduan dan pedoman yang diberikanNya akan menjadikan seseorang sentiasa berada di atas jalan yang lurus.

Tiada kenikmatan yang lebih bererti melainkan dapat menikmati kelazatan dan kemanisan dalam bermujahaddah kepada Allah dengan menempuh jalanNya. Semuga belum terlambat untuk kita berusaha segenap upaya dengan harapan beriring doa bagi menggolongkan diri sebagai hamba dan kekasih Allah, insan terpimpin dan terpilih sebagai penghuni taman syurgawi di akhirat kelak.