BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Monday, January 25, 2010

Beriman dengan Alam Ghaib: DARihal Neraka....

Adalah dikisahkan bahawa Nabi Muhammad S.A.W. bertanya kepada malaikat Jibril berkenaan api neraka. Kata Nabi: "Wahai Jibril, beritahu kepadaku tentang api neraka". Maka Jibril pun berkata,"Ya Muhammad, sebenarnya api neraka itu berwarna hitam pekat, dan andaikata api itu jatuh ke atas bumi walau sebesar lubang jarum, necaya akan terbakarlah bumi ini, dan tentang baju neraka pula andaikata disangkutkan antara langit dan bumi, nescaya akan mati semua penduduk bumi kerana bau busuk yang amat busuk". Kemudian Jibril berkata lagi,"Wahai Muhammad, kalau malaikat yang sembilan belas itu turun ke bumi, nescaya akan mati semua penduduk bumi kerana bentuk mereka yang mengerikan, dan kalau satu gelang rantai neraka itu jatuh ke bumi, ia akan terjerlus masuk ke tujuh petala bumi".

Apabila Rasulullah mendengar penjelasan dari Jibril itu, maka baginda berkata:"Hasbi Ya Jibril! (cukuplah hai Jibril!), lantas baginda menangis dan malaikat Jibril pun turut serta menangis. Apabila Nabi melihat Jibril menngis, maka baginda pun bertanya kepada Jibril,"Wahai Jibril, mengapa kamu menangis, padahal kedudukan kamu sangat mulia di sisi Allah S.W.T.?. Jawab Jibril,"Ya Muhammad, tidak ada yang dapat menjamin keamananku, meskipun kedudukanku sangat dekat dengan Allah S.W.T.; tetapi aku takut kalau Allah S.W.T. hendak mengubahkan aku atau hendak menguji ku seperti mana Harut dan Marut dan Iblis yang terkutuk itu".

Walaupun posisi malaikat Jibril sangat istimewa dan amat dekat dengan Allah, ia tetap menangis kerana takutkan Allah S.W.T. Tetapi malangnya, manusia masih lagi tidak takut kepada Allah biarpun telah nyata tanda-tanda kekuasaan Allah melalui cerita-cerita dan warta berita dari Al-Quran dan hadis-hadis Nabi. Oleh itu, takutlah kamu kepada Allah kerana azab Allah amat pedih dan dashyat . Sesal di dunia pendapatan, sesal di akhirat tiada faedahnya.

Friday, January 15, 2010

MAKAM MAHMUDAH: Mensyukuri nikmat Allah

Satu tindakan yang menyeluruh dan holistik amat perlu untuk menzahirkan rasa syukur. Oleh kerana itu, lisan, hati dan seluruh anggota badan perlu berganding bahu. Jadi kerahkan semuanya. Hati perlu takutkan Allah, mengharap keredhaannya, cintakanNya lebih dari yang lain yang membawa kepada melaksanakan perintahNya dan meninggalkan laranganNya dalam setiap gerakerja. Lisan di bibir pula, sentiasa memperbanyakkan tasbih, tahmid dan takbir, menyebut-nyebut nikmat kurniaanNya serta sentiasa melafazkan hamdalah dan sebagainya. Di dalam surah Ibrahim ayat 7,Allah berfirman bermaksud:"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah nikmatKu kepadamu, dan jika kamu mengingkarinya, maka sesungguhnya azabKu sangatlah pedih".

Bagaimmna kita hendak menzahirkan rasa syukur kita?
1. Menggunakan segala nikmat yang diberikan untuk mendekatkan diri kepada pemberi nikmat (yakni Allah S.W.T.)
2. Merasa cukup dengan nikmat yang sedikit dan terus berusaha jangan putus asa
3. Berkongsi dan memberi apa saja yang berupa kebendaan atau nasihat
4. Apabila ditimpa musibah, bersabar dan sekiranya dilimpahi nikmat dia bersykur.

Rasa syukur perlu ditanam, terus dipupuk dan disuburkan. Bagaimana menyuburkan benih-benih syukur?
1. Bayangkan bahawa dunia ini terlalu kecil (di dalam satu genggaman tangan malaikat Iszrail)jika dibandingkan dengan akhirat. Oleh sebab itu, nikmat yang kecil atau besar pasti tidak seberapa jika dibandingkan dengan nikmat di "sana"
2. Ucapkan "Alhamdulillah 'ala kulli hal' pada setiap akhir natijah
3. Tahu dan sedar siapa sebenar pada hakikatnya, yang Pemberi nikmat itu
4. Apabila berterima kasih kepada manusia, katakanlah "Jazakallah" (bagi lelaki) dan "Jazakillah" (bagi wanita).

Jika ingin nikmat ditambah-tambah oleh pemberi rezeki, maka bersyukurlah. Syukur perlu diluahkan melalui rasa hati, gerak lidah dan ikhlasnya seluruh anggota fizikal badan.

Monday, January 11, 2010

Tujuan Hidup Muslim

Kebanyakan manusia tidak memahami tujuan hidup ini. Kegagalan ini menyebabkan mereka terumbang-ambing dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah kepada dirinya dan orang lain. Allah S.W.T. dalam Al-Quran telah memberi panduan kepada manusia. Firman Allah,:"Dan ingatlah Aku telah menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepadaKu"(AD-Dzaariyaat:56). Cukup jelas menurut ayat ini tujuan sebenar hidup amanusia adalah untuk menyembah Allah dan manusia harus menjadi milikNya. Apabila manusia sudah menjadi hak dan milik Allah S.W.T., manusia tidak memiliki hak untuk menetapkan sendiri tujuan hidupnya. Bahkan hidup dan mati manusia juga berada di bawah kuasa Allah S.W.T.,dan manusia tidak menpunyai kuasa sedikitpun untuk menentukannya. Dialah yang paling berhak untuk menetapkan suatu tujuan kepada manusia. Tidak peduli apakah manusia mengerti atau tidak mengerti tujuan itu.

Namun begitu, Allah S.W.T. telah menciptakan serta menganugerahkan kemampuan yang cemerlang dan lebih tinggi kepada manusia berbanding dengan seluruh haiwan tetapi seluruh kemampuan ini harus digunakan untuk menyembah Allah dan meraih makrifatNya. Sebagaimana Allah berfirman:"Agama yang didalamya terdapat makrifat yang benar tentang Tuhan dan penyembahan terhadapNya dalam bentuk yang terbaik, adalah Islam",(Al-Imran:19). Islam telah ditanamkan di dalam fitrah manusia (Ar-Ruum:30). Yakni, Dia, telah menghendaki agar manusia dengan segala kemampuannya terus menerus menyembah, mentaati dan mencintaiNya. Itulah sebabnya, Sang Maha Kuasa dan Maha Mulia telah menganugerahkan kepada manusia seluruh kemampuan yang selaras dengan Islam.

Sesungguhnya tujuan sebenar dalam kehidupan manusia adalah untuk mendapatkan makrifat Illahi dengan mnyembah Allah S.W.T. dan mencintaiNya. Tetapi kini, kebanyakan manusia pada hari ini tidak memahami tujuan hidup, mereka berkelana dalam keributan kesibukan duniawi yang menyesatkan, mereka mengejar kemewahan dan keseronokan duniawi sehingga menjadi buta untuk menemui kebahagiaan sejati. Namun begitu, disebabkan fitrah manusia adalah Islam telah menyebabkan jiwanya sentiasa meronta-ronta dan mengecam dirinya, setiap kali ia melakukan pelanggaran dan dosa, hati nuraninya tidak pernah bersetuju dengan tindakan-tindakannya yang kejam, penuh tipu muslihat dan curang. Hati nuraninya akan terus melawan tindakannya sehingga jiwa mereka tidak pernah tenteram dan damai, malah senyuman serta ketawa yang ditunjukkan sebenarnya penuh dengan kepura-puraan. Berbeza dengan manusia yang memahami tujuan hidup, mereka akan berlari dan bersungguh untuk mendekati dan taat kepada Allah S.W.T. sehingga mereka sanggup untuk melebur dan tenggelam di dalam kecintaan Allah dan tidak ada lagi yang tersisa miliknya, semua miliknya mahu dijadikan sebagai menjadi milik Allah S.W.T. Golongan ini sebenarnya sudah menjiwai seruan Al_Quran;"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka"(At-Taubah:111).

Ini adalah tujuan sebenar kehidupan manusia dan tingkat refomasi agung yang harus dicapai oleh umat Islam. Terdapat satu kisah yang menarik yang dapat mengungkapkan betapa indah dan nikmatnya menjadi Islam. Kenikmatan ini diungkapkan oleh seorang wanita California Amerika Syarikat bernama Brenda Ghalib yang telah memeluk agama Islam melalui perkahwinan dengan seorang pemuda bangsa Arab. Beliau berkata,"Since I have been a Muslim, I'm very sure of myself, Islam has given me peace, an inner place: I think in the west especially in California, people are very unsure of themselves. The are always searching, searching" (Goodwin:n 1994). Berbahagia dan beruntunglah mereka yang sudah menjadi orang Islam kerana tidak letih dalam kesesatan untuk mencari tujuan hidup ini. Rugilah mereka yang dilahirkan sebagai Islam, tetapi masih sesat mencari Allah kerana matanya memandang dan terpikat kepada dunia semata-mata.

Monday, January 4, 2010

Perkelaminan Di dalam SYURGA

Rasulullah (S.A.W.)satu masa telah ditanya oleh Luqaid ibn Amir:"Ya Rasulullah, apakah kita mendapat isteri-isteri yang baik di syurga?". Baginda menjawab,"Wanita yang baik untuk lelaki yang baik, dan kamu akan merasakan nikmat dengan mereka seperti kamu merasakan nikmat dengan isteri-isteri kamu di dunia ini, hanya sanya tidak melahirkan anak" (Hadis riwayat Turmuzi & Tabrani). Di dalam hadis yang lain, yang diriwayatkan oleh Ibnu Wahab dari Abu Hurairoh, berkata Abu Hurairoh: "Ya Rasulullah, apakah kita berjimak (bersetubuh)di syurga?". Jawab baginda, "Ya. Demi Tuhan yang memegang jiwaku dengan tanganNya, hebat, hebat (jauh lebih hebat dari di dunia) dan bila telah selesai urusan, si isteri kembali suci serta perawan".

Di dalam buku HIDUP SESUDAH MATI karya Bey Ariffin di muka surat 187, Rasulullah dalam menjawab satu pertanyaan, bersabda,"Ya, di syurga ahli syurga akan menyetubuhi isteri-isteri mereka. Demi Tuhan yang telah mengutuskan aku dengan membawa kebenaran, bahkan dengan zakar yang tidak pernah lemah, kemudian faraj yang tidak pernah kendur dan syahwat yang tidak pernah putus".

Jadi, percintaan antara suami isteri di syurga selalu hangat dan indah. Mereka mempunyai kemahuan dan kemampuan seks seratus (100) kali ganda daripada di dunia. Persetubuhan ini pula tidak mengakibatkan kelahiran atau keturunan, sebab tiada keluar air mani kecuali mengeluarkan semacam udara yang sedikit hangat dengan perasaan nikmat yang lebih besar.

Sunday, December 27, 2009

10 Sifat-sifat MAZMUMAH

10 sifat-sifat tercela yang menyebabkan manusia tidak bahagia di dunia dan akan mendapat balasan yang buruk selepas mati.

1. BANYAK MAKAN - Makan dan minum yang berlebihan mengakibatkan malas, lemah dan banyak tidur. Ini menyebabkan kita lalai daripada ibadah dan zikrullah.
2. BANYAK BERCAKAP - Banyak bercakap banyak salahnya. Banyak salahnya banyak dosanya.
3. PEMARAH - Marah yang bukan pada tempatnya dan tanpa sebab yang munasabah.
4. HASAD - Ingin nikmat yang diperolehi oleh orang lain hilang atau berpindah kepadanya dan berdukacita apabila orang lain mendapat kurniaan dari Allah SWT.
5. BAKHIL - Kedekut untuk membelanjakan harta ke jalan Allah dan untuk agamaNya.
6. HUBBUL-JAH - Kasihkan kemegahan, kebesaran dan pangkat boleh mengakibatkan pekerjaan seseorang itu tidak ikhlas, dan mengakibatkan pergaduhan lantaran mengejar pangkat.
7. HUBBUD-DUNIA - Gemarkan kesenangan hidup dan kemewahan hidup. Kesenangan duniawi yang membawa lupa daripada kewajipan kepada Allah. Kesenangan dunia tidak sepatutnya membawa lupa.
8. TAKKABUR - Memandang dirinya lebih mahir dan orang lain rendah serta hina. Merasakan pendapatnya sahaja yang betul.
9. BANGGA DIRI - Timbul dalam hatinya bahawa dialah orang yang paling sempurna seperti pelajarannya, akhlaknya, kecantikannya dan lain-lain.
10.RIAK - Memperlihatkan atau menunjuk-nunjukkan amalannya kepada orang lain. Semata-mata niatnya hanya kerana manusia. Amalannya akan menjadi sia-sia.

Thursday, December 10, 2009

Dunia destinasi persinggahan sementara...

Abu Hurairoh telah berkata: Sabda Nabi kepadaku:"Wahai Abu Hurairoh, mahukah kamu aku perlihatkan dunia ini seluruhnya beserta isi kandungannya?". Kataku: Tentu sekali saya mahu wahai Rasulullah. Lalu baginda memegang tanganku dan membawaku ke suatu lembah di Madinah. Seketika kemudian, kami sampai di satu lembah tempat persampahan di mana terdapat tengkorak-tengkorak manusia, najis-najis, tulang-tulang,perca-perca kain mereka. Sejurus kemudian, Rasulullah bersabda, "Wahai Abu Hurairoh, tengkorak-tengkorak ini dahulunya ialah kepala-kepala yang haloba dan mengharap (kepada kemewahan dunia) seperti kamu juga. Hari ini telah menjadi tulang-tulang yang tidak berkulit kemudian akan menjadi debu-debu halus. Longgokan najis ini ialah dahulunya ialah bermacam-macam makanan yang telah mereka usahakan dari mana-mana, kemudian mereka sumbatkan ke dalam perut-perut mereka dan sekarang telah menjadi bahan-bahan yang dibenci dan dihindarkan orang. Perca-perca kain yang reput ini dahulunya ialah permaidani-permaidani dan pakaian-pakaian mereka, sekarang telah ditiup angin ke sana ke mari. Sedang tulang temulang ini pula ialah tulanga-tulang binataang ternakan mereka di merata pelosok dunia. Oleh itu barangsiapa yang ingin menangis terhadap keadaan dunia, maka bolehlah ia menangis" kata Abu Hurairoh "Maka kami pun lantas menangis dengan bersugguh-sungguh".

Dunia dengan segala kenikmatannya yang ada di dalanmya merupakan buruan manusia yang tidak ada hujungnya. Seluruh tenaga pemikiran dikerah untuk menghasilkan kenikmatannya. Semasa Baginda Nabi SAW diisrak mikraj oleh Allah SWT, Baginda diperlihatkan bandingan dunia seorang wanita cantik yang disaluti perhiasan gemerlapan di tubuhnya, memanggil-manggil "Wahai Muhammad nantikandaku, aku hendak bertanya kepada engkau" , tetapi Rasulullah tidak berpaling, "Apa perempuan ini ya Jibril?" sahut Jibril "Itulah dunia".

Di era zaman mutaakhir ini, kegelojohan mengejar kesenangan dunia kelihatan jelas terpapar di hadapan mata, tidak ada perasaan malu untuk mengerjakan sesuatu walaupun ianya amat berlawanan dengan hukum Allah. Nabi SAW pernah berpesan kepada menantunya Saidina Ali "Wahai Ali barang siapa yang memakan barang yang haram nescaya lemahlah keyakinannya dan di dinding oleh Allah akan doanya". Bukanlah bererti umat Islam dilarang bagi mencari kemewahan dunia, malah digalakkan mencari rezeki yang halal. Alllah berfirman, bermaksud "Apabila telah ditunaikan sembahyang (Jumaah), maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurniaan Allah" (S.Jumaah, 10).

Islam mengingatkan umatnya supaya dunia dan segala kesenangannya janganlah dijadikan matlamat di dalam sirkus kehidupan dan menjadi medan sengit persaingan di kalangan manusia. Rasulullah telah mengingatkan, "Demi Allah, aku tidak takut kamu menjadi mangsa kemiskinan. Tetapi apa yang aku takutkan ialah bahawa dunia ini dibukakan kepada kamu seperti telah dibukakan kepada umat-umat sebelum kamu, maka lantas kamu berlomba-lomba kerananya. Lalu perlombaaan(persaingan/kompitasi) itu membinasakan kamu sepertimana ia membinasakan mereka itu" (HR Bukhari & Muslim).

Manusia yang memusatkan pemikirannya semata-mata kepada dunia akan menumbuhkan ciri-ciri tamak haloba di dalam hatinya dan akan menumbuhkan penyakit-penyakit lain. Rasulullah bersabda "Sesiapa yang keterlaluan penumpuan fikirannya kepada dunia, maka Allah tidak akan mnendatangkan sesuatu untuknya dan Allah akan menetapkan ke dalam hatinya empat perkara: kerungsingan fikiran yang tidak kunjung habis, kesibukan yang tidak pernah selesai, kemiskinan yang tidak akan kaya , dan harapan yang tidak akan tercapai selama-lamanya"(HR Atthabrani). Di dalam kehidupan masakini yang dibanjiri dengan beraneka perhiasan yang amat diingini oleh hawa nafsu, iman manusia dengan mudah menjadi rapuh, jika tidak diawasi dan diperangi bersungguh-sungguh akan runtunan hawa nafsu itu. Sesiapa yang bertolak ansur dengan dunia, maka akan musnah imannya. Rasulullah memberi amaran di dalam persoalan ini: "Selepasku nanti, dunia akan memamah (memusnahkan) iman kamu laksana api memamah kayu kering".

Percayalah akan sabda Rasulullah "ingatlah dunia ini pada setiap saatnya berjalan pergi dan akhirat pula pada setiap saatnya berjalan datang, sedang tiap-tiap satunya ada orang yang kasih dan setia kepadanya, oleh itu kalau kamu dapat menahan diri dari menjadi orang-orang yang kasih dan setia kepada dunia maka buatlah, kerana kamu pada hari ini berada di kampung yang masih ada peluang untuk kamu beramal, dan belum ada sebarang hisab perhitungan, dan kamu pada hari esok akan berada di kampung akhirat yang ada padanya hisab dan tiada ada peluang bagi sebarang amal" (HR Baihaqi).

Monday, December 7, 2009

Renungan: Tanggungjawab Terhadap Allah Lebih Utama

Dalam perlumbaan kita mengejar kemajuan,kemakmuran dan kemewahan hidup di zaman pembangunan ini, kebanyakan umat Islam telah melupai atau mencuaikan kewajipan terhadap Allah. Adalah nyata pengaruh kebendaan (materialistik) begitu hebat sekali menguasai hidup manusia sehingga kebanyakan dari kita meletakkan soal kewajipan terhadap Allah sebagai soal kedua (sekunder) dan soal mengejar kebendaan atau kekayaan itu menjadi soal pertama. Sesungguhnya banyak bukti jika kita hendak huraikan satu persatu. Umpamanya bila tiba waktu sembahyang dan suara azan bergema di masjid dan surau. Bila sembahyang didirikan hanya beberapa kerat sahaja yang mengerjakannya. Yang paling menyedihkan ialah sembahyang boleh ditinggal dan diabaikan demi untuk menjayakan tugas atau kerja-kerja yang boleh ditangguhkan. Alasan untuk ini bahawa tugas itu penting untuk kebajikan dan sebagainya. Ini mereka lebih mementingkan 'hablun minan nas' pada hal menurut agama Islam hubungan dengan Allah 'hablun minallloh' wajib diutamakan sebelum hubungan dengan manusia.

Satu lagi Rukun Islam yang sering diringan-ringankan ialah kewajipan berzakat harta. Apa yang biasa kita lakukan ialah zakat fitrah setahun sekali. Sebagaimana kita ketahui zakat harta adalah menjadi asas kepada sistem perekonomian Umat Islam. Kita tidak menafikan ada di antara kita membayar zakat harta, tetapi bilangannya amat sedikit. Begitu juga dengan individu yang bertugas dengan menerima gaji bulanan adalah wajib membayar zakat pendapatan setiap tahun bila sampai nisabnya. Kalaulah kita sanggup menbayak cukai pendapatan, kenapa tidak zakat pendapatan yang menjadi tuntutan agama? Marilah kita koreksi diri dan muhasabah diri!!!.