Abu Hurairoh telah berkata: Sabda Nabi kepadaku:"Wahai Abu Hurairoh, mahukah kamu aku perlihatkan dunia ini seluruhnya beserta isi kandungannya?". Kataku: Tentu sekali saya mahu wahai Rasulullah. Lalu baginda memegang tanganku dan membawaku ke suatu lembah di Madinah. Seketika kemudian, kami sampai di satu lembah tempat persampahan di mana terdapat tengkorak-tengkorak manusia, najis-najis, tulang-tulang,perca-perca kain mereka. Sejurus kemudian, Rasulullah bersabda, "Wahai Abu Hurairoh, tengkorak-tengkorak ini dahulunya ialah kepala-kepala yang haloba dan mengharap (kepada kemewahan dunia) seperti kamu juga. Hari ini telah menjadi tulang-tulang yang tidak berkulit kemudian akan menjadi debu-debu halus. Longgokan najis ini ialah dahulunya ialah bermacam-macam makanan yang telah mereka usahakan dari mana-mana, kemudian mereka sumbatkan ke dalam perut-perut mereka dan sekarang telah menjadi bahan-bahan yang dibenci dan dihindarkan orang. Perca-perca kain yang reput ini dahulunya ialah permaidani-permaidani dan pakaian-pakaian mereka, sekarang telah ditiup angin ke sana ke mari. Sedang tulang temulang ini pula ialah tulanga-tulang binataang ternakan mereka di merata pelosok dunia. Oleh itu barangsiapa yang ingin menangis terhadap keadaan dunia, maka bolehlah ia menangis" kata Abu Hurairoh "Maka kami pun lantas menangis dengan bersugguh-sungguh".
Dunia dengan segala kenikmatannya yang ada di dalanmya merupakan buruan manusia yang tidak ada hujungnya. Seluruh tenaga pemikiran dikerah untuk menghasilkan kenikmatannya. Semasa Baginda Nabi SAW diisrak mikraj oleh Allah SWT, Baginda diperlihatkan bandingan dunia seorang wanita cantik yang disaluti perhiasan gemerlapan di tubuhnya, memanggil-manggil "Wahai Muhammad nantikandaku, aku hendak bertanya kepada engkau" , tetapi Rasulullah tidak berpaling, "Apa perempuan ini ya Jibril?" sahut Jibril "Itulah dunia".
Di era zaman mutaakhir ini, kegelojohan mengejar kesenangan dunia kelihatan jelas terpapar di hadapan mata, tidak ada perasaan malu untuk mengerjakan sesuatu walaupun ianya amat berlawanan dengan hukum Allah. Nabi SAW pernah berpesan kepada menantunya Saidina Ali "Wahai Ali barang siapa yang memakan barang yang haram nescaya lemahlah keyakinannya dan di dinding oleh Allah akan doanya". Bukanlah bererti umat Islam dilarang bagi mencari kemewahan dunia, malah digalakkan mencari rezeki yang halal. Alllah berfirman, bermaksud "Apabila telah ditunaikan sembahyang (Jumaah), maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurniaan Allah" (S.Jumaah, 10).
Islam mengingatkan umatnya supaya dunia dan segala kesenangannya janganlah dijadikan matlamat di dalam sirkus kehidupan dan menjadi medan sengit persaingan di kalangan manusia. Rasulullah telah mengingatkan, "Demi Allah, aku tidak takut kamu menjadi mangsa kemiskinan. Tetapi apa yang aku takutkan ialah bahawa dunia ini dibukakan kepada kamu seperti telah dibukakan kepada umat-umat sebelum kamu, maka lantas kamu berlomba-lomba kerananya. Lalu perlombaaan(persaingan/kompitasi) itu membinasakan kamu sepertimana ia membinasakan mereka itu" (HR Bukhari & Muslim).
Manusia yang memusatkan pemikirannya semata-mata kepada dunia akan menumbuhkan ciri-ciri tamak haloba di dalam hatinya dan akan menumbuhkan penyakit-penyakit lain. Rasulullah bersabda "Sesiapa yang keterlaluan penumpuan fikirannya kepada dunia, maka Allah tidak akan mnendatangkan sesuatu untuknya dan Allah akan menetapkan ke dalam hatinya empat perkara: kerungsingan fikiran yang tidak kunjung habis, kesibukan yang tidak pernah selesai, kemiskinan yang tidak akan kaya , dan harapan yang tidak akan tercapai selama-lamanya"(HR Atthabrani). Di dalam kehidupan masakini yang dibanjiri dengan beraneka perhiasan yang amat diingini oleh hawa nafsu, iman manusia dengan mudah menjadi rapuh, jika tidak diawasi dan diperangi bersungguh-sungguh akan runtunan hawa nafsu itu. Sesiapa yang bertolak ansur dengan dunia, maka akan musnah imannya. Rasulullah memberi amaran di dalam persoalan ini: "Selepasku nanti, dunia akan memamah (memusnahkan) iman kamu laksana api memamah kayu kering".
Percayalah akan sabda Rasulullah "ingatlah dunia ini pada setiap saatnya berjalan pergi dan akhirat pula pada setiap saatnya berjalan datang, sedang tiap-tiap satunya ada orang yang kasih dan setia kepadanya, oleh itu kalau kamu dapat menahan diri dari menjadi orang-orang yang kasih dan setia kepada dunia maka buatlah, kerana kamu pada hari ini berada di kampung yang masih ada peluang untuk kamu beramal, dan belum ada sebarang hisab perhitungan, dan kamu pada hari esok akan berada di kampung akhirat yang ada padanya hisab dan tiada ada peluang bagi sebarang amal" (HR Baihaqi).
Thursday, December 10, 2009
Dunia destinasi persinggahan sementara...
Posted by syurgafirdausi at 2:56 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

1 comments:
Ramai antara kawan2 kita telah pergi dulu daripada kita.. Masa kita akan tiba juga.. Persoalannya adakah kita cukup bersedia untuk dipanggil mengadapNya.
Post a Comment