BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS �

Sunday, December 6, 2009

PELITA ILMU: Amal Soleh Syarat Mendapat Rahmat

Setiap orang beriman tidak pernah lupa untuk memohon rahmat Allah dalam setiap doa yang dipanjatkan. Kerana rahmat Allah yang terlimpah adalah sebagai penawar kepada segala kesusahan jiwa. Rahmat Allah adalah suatu nikmat yang terbesar selain dari iman dan Islam. Ada keterangan yang mengatakan bahawa manusia akan masuk syurga bukan kerana banyak amalnya tetapi adalah kerana rahmat Allah. Sebab itu, orang-orang yang beriman sungguh-sungguh mengharapkan agar Allah melimpahkan rahmatNya. Tetapi rahmat Illahi bukan mudah untuk diperolehi. Kerana Allah mempunyai seratus rahmat yang mana hanya satu sahaja dicampakkan ke dunia ini. Untuk mendapatkannya seseorang itu haruslah melakukan amal soleh yang sungguh-sungguh dan istiqomah. Firman Allah bermaksud,"Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat pada orang-orang yang berbuat baik".

Maka jelaslah bahawa syarat untuk mendapat rahmat Illahi adalah dengan melakukan amal soleh ataupun amal yang baik. Apa yang harus kita lakukan ialah melakukan ibadah dan amal soleh dengan penuh keikhlasan, walau sekecil manapun amal kita itu. Setiap kebaikan yang mahu dilakukan akan mendapat halangan dari nafsu dan syaitan. Maka di sini nilai mujahadahlah yang menentukan amal soleh kita itu samada berjaya dilakukan ataupun tidak. Sekiranya berjaya dilakukan apakah ianya sempurna atau tidak. Sebagai seorang mukmin kita tidak harus berputus asa untuk mendapat rahmat dari Allah kerana ianya tidak akan termakbul dalam sekelip mata. Antara amal-amal soleh termasuk seperti bersedekah, berkasih sayang dengan fakir miskin, zikir, bekerja mencari nafkah keluarga dan seumpamanya. Itulah antara jalan-jalan untuk mendapat rahmat atau kasih sayang Allah.

0 comments: