Sangka buruk, suka mengintip dan mencari aib kesalahan orang lain, serta kata mengata adalah penyakit warisan iblis. Ia merupakan perangkap untuk memangsa manusia. Dengan itu maka penuhlah dunia ini dengan sifat berburuk sangka, saling mencari-cari aib dan kesalahan orang lain, dan seterusnya bermaharajalela adu domba dan fitnah yang bersumber daripada sifat kata mengata. Allah menegah perkara ini daripada berlaku di kalangan umat Islam sebagaimana firman Allah: "Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakkan dari sangkaan(supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu berdosa, dan janganlah kamu mengintip, mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Apakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati?. Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Oleh itu patuhilah larangan-larangan tersebut, dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah penerima taubat lagi Maha Mengasihani" (Al-Hujurat: 12).
Berpandukan ayat di atas, jelas kepada kita di dalam diri manusia terdapat 3 jenis penyakit hati yang sukar diubati. Penyakit hati inilah yang membawa kepada kemusnahan ukhuwah antara kita di dalam kehidupan bermasyarakat. Malahan penyakit ini juga akan membawa kita kepada perbalahan dan perpecahan kepada kita semua seandainya kita tidak menjauhinya.
PERTAMA: Dhan yang bererti sangka atau prasangka.
Walaupun Allah tidak melarang terus tabiat ini, namun berdasarkan kesannya yang buruk, Allah menghendaki kita menjauhinya. Sangkaan yang dilarang itu ialah sangkaan yang membahayakan serta menyusahkan samada terhadap diri sendiri atau orang lain. Umpamanya, seorang lelaki yang berkunjung ke rumah seorang wanita pada malam hari ketika suaminya tiada di rumah. Seseorang yang melihat peristiwa itu terus membuat sangkaan yang bukan-bukan. Dia pula kemudiannya menceritakkannya kepada orang lain, dan ceritnya pula lebih buruk dari keadaan sebenar. Alangkah malangnya wanita tersebut andainya yang datang itu adalah abang kandungnya sendiri.
KEDUA: ialah amalan suka mengintip dan mencari-cari kesalahan orang lain.
Perbuatan seperti ini boleh mewujudkan permusuhan. Bagaimana perasaan kita apabila ada orang yang suka mengintip pergerakan dan mencari kesalahan kita???. Adakah kita akan berdiam diri begitu sahaja tanpa bertindak balas? Selagi manusia memiliki nafsu , sifat ingin bertindak balas pasti wujud demi mempertahankan cerita tentang diri kita diketahui orang lain walaupun benar. Perbuatan suka mencari kesalahan orang lain semata-mata untuk mendedahkannya kepada orang lain, adalah perbuatan yang amat tercela dan dlarang keras oleh Islam. Tetapi jika perbuatan ini bertujuan untuk mendapatkan bukti di mahkamah dan seumpamanya, maka perbuatan ini tidak dilarang malah diharuskan. Islam lebih suka kalau kita merahsiakan keburukan dan keaiban seseorang. Perbuatan seperti ini adalah amalan para Rasul, dan Nabi S.A.W. sendiri pernah memberi jaminan bahawa sesiapa yang menutup keaiban dan kesalahan orang lain, akan diberi ganjaran dengan terpelihara keaibannya pada hari akhirat. Hal ini jelas dalam sabda baginda,:"Sesiapa yang menutupi (keburukan/keaiban)saudaranya sesama Islam, dan tidak didedahkannya kepada orang lain, nescaya Allah akan menutupi keaibannya pada hari akhirat"(HR Ahmad).
KETIGA: Penyakit mengumpat dan kata mengata.
Perbuatan ini juga merupakan penyakit masyarakat yang amat berbahaya. Sekirannya perbuatan ini sudah menjadi amalan dan tabiat seseorang, masyarakat akan menjadi porak peranda dan berpecah belah. Inilah yang dianggap punca perpecahan dan permusuhan. Perkara yang berlaku walaupun benar juga dilarang untuk diumpat apatah lagi perkara yang tidak benar. Pada suatu ketika, iaitu semasa saiditana Aisyah bersama Nabi S.A.W., tiba-tiba datang seorang lelaki yang agak pendek. Semasa lelaki itu keluar, Aisyah bekata:"Pendeknya orang itu". Lalu segera dijawab oleh Rasulullah,"Ya Aisyah, sesungguhnya kamu telah mengumpat dia".Jawab Aisyah:"Bukankah itu perkara yang benar, Ya Rasulullah?. Maka jawab Rasulullah,"Itulah dikatakan mengumpat, kalau sekiranya perkara itu tidak benar, maka itu dusta (fitnah) namanya". Hadis ini menunjukkan bahawa perbuatan menyebut, menceritakan dan mendedahkan keburukan, keaiban, kecacatan, kekurangan, kepincangan seseorang kepada orang lain dinamakan mengumpat. Jika orang yang diumpat itu tidak mengetahuinya, maka ia akan memperolehi pahala daripada umpatan itu, manakala yang mengumpat akan beroleh dosa. Sebaliknya, jika orang yang diumpat itu mengetahui, tentu akan berlaku permusuhan dan persengketaan.
Secara sepintas lalu, ketiga-tiga penyakit ini kelihatan hampir serupa iaitu sangka buruk, suka mencari kesalahan orang lain dan kata mengata. Ketiga-tiga penyakit ini terbit daripada hati yang telah dirosakkan oleh nafsu dan dikuasai oleh syaitan dan iblis.Penyakit-penyakit seperti ini, tidak berlaku melainkan kerana iri hati, busuk hati dan sakit hati.
Kita mungkin mampu hidup sendirian, tetapi kita pasti tidak mampu hidup tanpa teman. Bersama-samalah kita menjaga hati kita daripada terus dijangkiti penyakit-penyakit hati ini. Binalah kehidupan bermasyarakat yang saling memahami serta menjaga kebajikan di antara satu sama lain. Jangan biarkan ukhuwah kehidupan kita dihancurkan hanya kerana penyakit-penyakit hati yang tanpa kita sedari telah bersarang di dalam diri kita. Wallahu a'lam.
Thursday, December 9, 2010
Sangka buruk, suka mencari kesalahan orang lain dan kata mengata
Posted by syurgafirdausi at 4:58 AM 0 comments
Wednesday, October 20, 2010
Persoalan HATI....
Hati itu terbahagi 2 bahagian.
1. Hati Jismani. iaitu hati sebagai bahan bendanya (hati). Hati ini yang disebut dalam Hadis: "Sungguh dalam tubuh manusia ada segumpal daging; apabila dia baik, maka baiklah seluruh tubuh dn apabila dia jahat, maka akan celakalah seluruh tubuh. Dia itu adalah Hati" (HR Bukhari). Hati jismani ini adalah dalam bahasa Arabnya disebut, "Kibdun", dia dapat disaksikan dengan pancaindera dan dapat juga disaksikan tugas-tugasnya berhubung dengan jismani. Dia terletak dalam dada sebelah kiri dan bermuaranya urat-urat darah dalam tubuh. Antara tugas lain ialah- menukarkan zat-zatnya dalam tubuh dan menyahkan zat-zat beracun.
2. Hati Nurani (Ruhani). Iaitu hati yang dalam bahasa Arabnya disebut,"Qalb" atau "Fu'aad" iaitu tenaga dan kekuatan dari hati jismani (Kibdun) dan sifat ruhaninya sahaja , bukan dari sifat bendanya. Dalam bahasa Melayu, antara lain dia digunakan dalam rangkaikata-rangkaikata : ada hati; busuk hati; hati mulia, dan sebagainya.
Jadi disebalik hati jismani (seketul daging), itu terdapat abstrak (maknawi)yang tidak dapat disaksikan oleh pancaindera iaitu kekuatan atau tenaga yang tersembunyi, hati yang berfungsi dari segi ruhani inilah yang ditujukan oleh sabda Nabi, bermaksud: "Sungguhnya Allah tidaklah memandang kepada rupa paras kamu dan tidak pula kepada perawakan badan kamu, pun tidak kepada harta benda kamu, tetapi Dia memandang kepada isi hati-hati kamu dan gerak amalan kamu"(HR At-Tabrani).
Menurut ahli Falsafah Islam terkenal Imam Al-Ghazali:
"Al-Qalb" itu mengandungi 2 makna:
1. "Al-Qalb" (Hati) ialah segumpal daging yang berbentuk bujur dan terletak di dada sebelah kiri, yang mempunyai tugas-tugas tertentu (para doktor perubatan lebih arif..)
2. "Al-Qalb" (Hati) dalam erti yang halus bersifat ketuhanan dan ruhaniyah yang ada hubungannya dengan hati jismani tadi. Hati dalam erti kedua ini adalah hakikat manusia yang dapat menangkap segala pengertian, berpengetahuan dan 'arif'. Iaitu manusia yang menjadi sasaran dari segala perintah dan larangan Allah, yang akan diseksa, dicela dan dituntut segala amal perbuatannya.
Kesimpulannya: Hati manusia itu mempunyai dua peranan iaitu: peranan jismani dan peranan ruhani.
(Dipetik dari buku "Kedudukan Niat dan Ikhlas Dalam Islam", oleh Abdullah Al-Qari, Pustaka Asa Kenali Kelantan, 1988).
Posted by syurgafirdausi at 4:36 AM 0 comments
Tuesday, October 12, 2010
Semai kebaikan, Tuai Keredhaan...
Pada yang empunya harta melimpah
hulurkanlah zakat dan sedekah
Pada yang sihat dan kuat
berilah tenaga dan keringat
Pada yang berbakat dan cendekiawan
pemurahlah dengan hikmah dan pengajaran
Pada yang miskin dan kesempitan
bersedekahlah dengan senyuman
Semua kita harus pemurah
memberi bukan untuk bermegah
Tetapi itulah perintah Tuhan
semai kebaikan dan tuailah keredhaan
Firman Allah:
"Kamu tidak sekali-kali akan mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian
(yang sempurna), sebelum kamu dermakan sebahagian daripada yang kamu sayangi.
Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah Maha mengetahui"
(Ali Imran: 92)
Posted by syurgafirdausi at 3:43 PM 0 comments
Thursday, September 2, 2010
Memelihara Hidayah...
Adalah penting bagi kita memastikan hidayah ini tetap terpelihara dalam jiwa kita. Berikut ini adalah beberapa langkah yang peru kita ambil supaya hidayah dalam hati kita tetap pelihara.
Pertama: DOA
Doa adalah step pertama yang perlu kita ambil bila inginkan hidayah dalam hati tetap terpelihara. Perbanyakkanlah berdoa dan bermunajat kepadaNya supaya diteguhkan hidayah dan memohon tidak dicabut atau disentap dari hati kita. Di dalam Al-Quran terdapat serangkap doa yang berkaitan dengan keperluan kita ini. Firman Allah,"Wahai Tuhan kami, janganlan Engkau condongkan hati-hati kami sesudah Engkau berikan petunjuk. Dan kurniakan kepada kami dari sisi Engkau, kerahmatan, seseungguhnya Engkau adalah sebaik-baik pemberi kurnia" (Ali Imran: 8). Ini adalah doa yang diajarkan secara direct oleh Allah. Adakah di sana doa lain yang lebih baik daripada ini?. Maka sudah sepantasnya, kita menghafal dan mengungkapkannya saban waktu. Kita sedar hakikat, terpelihara atau tercabutnya hidayah itu terletak pada kehendak dan kekuasaan Allah S.W.T. semata-mata. Apabila Allah meneguhkan hidayah dalam hati kita, tidak ada yang memesongkan dan menyelewengkan walau bagaimana kaedah dan usahanya. Sudahkah kita lupa cerita kisah keteguhan hati Bilal ibni Robah seperti teguh batu yang menghenyah dadanya?. Sahabat agung ini dipaksa supaya kembali kepada ajaran berhala. Beliau enggan lalu disiksa. Beliau disalai ditengah padang pasir. Tubuhnya ditindih dengan batu. Betapa keras batu yang menindih batang fizikalnya, teguh lagi hatinya beriman kepada Allah dan rasulnya. Betapa membahangnya cahaya mentari yang memanggang batang fizikalnya, maka lagi membara kecintaannya kepada Allah dan nabinya. Lidahnya tidak henti-hentinya, menutur, "Ahad., Ahad..Ahad.." yang membawa erti, "Yang Maha Esa, Yang Maha Esa..Yang Maha Esa..". Begitulah hakikatnya hidayah , segalanya terletak pada Allah. Dan kita, tekunlah berdoa kepada Allah supaya hidayah terus subur membara bertapak pada hati-hati kita semua.
Kedua: STOP TERUS DARI MELAKUKAN MAKSIAT
Selepas berdoa, langkah seterusnya supaya, hidayah terpelihara ialah- berhenti terus daripada melakukan maksiat. Ini dilakukan dengan penuh keazaman dan keteguhan hati. Sikap berhenti terus secara keselurhnannya, ini perlu digenggam demi menghindarkan diri kita daripada semakin lemas dengan perbuatan dosa. Beringatlah!..sekali kita dihanyutkan oleh arus dosa, sukar sekali bagi kita menyelamatkan diri daripadanya. Sama keadaannya, dengan orang yang ketagihan dadah. Mereka mengaku betapa menyesalnya terjebak dengan dadah, bahkan menangis, dia berharap dapat berhenti daripada terus mengambil najis dadah ini. Selepas beberapa lama, mereka tidak tahan menahan siksa ketagihan, sekali lagi mereka mengulangi Dan, sekali lagi mereka menyesal. Penyesalan sahaja tidak cukup, bagi mengeluarkan dan membebaskan diri daripada melakukan perkara maksiat dan berdosa itu.Tidak ada cara lain, kita perlu berkeras hati supaya berhenti terus dari melakukan perbuatan terburuk itu. Jangan sekali-kali selepas itu menoleh kisah lampau kita, yang menuju ke jurang binsa itu. Tabahkan hati, terus melangkah ke depan menuju redha Allah S.W.T. Hanya dengan ketabahan, keteguhan dan keazaman hati inilah, hidayah dalam dada kita sentiasa terpelihara.
Ketiga dan terakhir: INGAT MATI
Sentiasa mengingat mati memantapkan hati supaya hidayah terpelihara. Mati bertandang tanya memberitahu. Bila-bila masa dan di mana-mana sahaja ia akan berlaku. Bayangkanlah... apabila maut menjengah dan pada waktu itu kita sedang bergelumang dengan maksiat-maksiat serta iman kita mereput dengan dosa dan derhaka kepada Allah. Mengingati mati, bukanlah menambahkan kerunsingan jiwa dan menyerabutkan lagi hati. Bahkan sebaliknya, ibadah kita menjadi lebih berkualiti dan pergaulan kita dengan orang lain, lebih bererti dan terpellihara. Apabila diingat-ingatkan mati, kita berasa tawar hati untuk melakukan maksiat, dosa dan melakukan kezaliman. Kita bimbang maut menjemput kita sebelum sempat kita bertaubat....
Wallahu a'lam.
Posted by syurgafirdausi at 2:26 PM 0 comments
Thursday, August 19, 2010
PILIHLAH JALAN Bahagia
PILIHLAH JALAN BAHAGIA
Untuk sihat dan bahagia, 10 tip atau petua boleh diamalkan:
1. BERIMAN
Satu hadis dari Muslim, dari Abu yahya Shuhaib Ibn Sinan , katanya, Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bermaksud:"Memang sangat menghairankan keadaan orang mukmin kerana segala urusannya mendatangkan kebaikan kepada dirinya dan ini tidak berlaku kecuali bagi orang yang beriman. Apabila beroleh kesenangan dia bersyukur, maka yang demikian itu adalah kebaikan kepadanya. Dan apabila ia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka pada yang demikian itu juga kebaikan kepadanya".
2. JANGAN SIBUKAN DIRI DENGAN MASA DEPAN
Masa depan masih berada di alam ghaib. Jangan terlalu risau memikirkannya, kerana ia akan datang jua dengan izinNya. Firman Allah: "Ketahuilah!, bahawa wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak berdukacita",(Yunus, 62).
Maksud tiada kebimbangan adalah tiada kebimbangan terhadap perkara-perkara yang belum berlaku. Manakala maksud, tiada berdukacita, adalah bererti- tiada susah hati pada perkara yang sudah berlalu.
3. LUPAKAN MASA LALU
Semua yang telah berlaku disebabkan perhatian yang terpaku kepada peristiwa silam, merupakan suatu kebodohan dan kegilaan.
4. QADAK DAN QADAR
Pelu disedari bahawa setiap sesuatu yang berlaku adalah di dalam ketentuan Allah S.W.T.
5. Jangan terlalu mengharap ucapan terima kasih daripada manusia (orang lain).
6. HAKIKAT SESUATU
Semua yang berlaku pada diri kita pada hakikatnya adalah yang terbaik pada neraca pandangan Allah.
7. Ingatlah, bahawa sesungguhnya, pada setiap KESUSAHAN itu ada KEMUDAHAN/KESENANGAN.
8. JANGAN BERPUTUS ASA ATAU KECEWA
Jangan cepat atau lekas berputus asa atau kecewa dikeranakan perkara-pwrkara yang remeh-temeh. Kerana syaitan amat suka kepada orang yang putus asa, kerana boleh dijadikan kawan seiring sejalan masuk ke neraka Allah, nauzubillah.
9. BERZIKIR
Berzikirlah kepada Allah S.W.T. dengan sebanyak-banyaknya, nescaya anda akan memperoleh ketenangan dan kedamaian hati sebagaimana firman Allah:"Orang yang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Bahawa ketahuilah, sesungguhnya dengan ingat kepada Allah, hati manusia akan tenang dan tenteram"(Al-Ra'd: 28).
10. BERTAQWA
Jalan keluar kepada semua penyelesaian permasalahan sentiasa terbuka dengan syarat BERTAQWALAH kepada Allah. Firman Allah:"Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyempitkan dan menyusahkan perjalanan hidupnya), serta memberikannya rezeki dari jalan-jalan yang tidak terlintas dihatinya".(Al-Talaq: 2-3).
Posted by syurgafirdausi at 3:46 PM 0 comments
Friday, July 30, 2010
Antara fikir dan zikir: sejenak merenung......
Allah S.W.T. memberikan rahmat dan kurnianya kepada sesiapa yang dikehendaknya. Allah menyelamatkan hambanya dari penindasan, penginayaan dan kezaliman. Allah juga yang memberikan kasih sayang dan kesejahteraan kepada sesiapa yang berada di alam semesta ini. Namun begitu Allah Azza Wajalla menjadikan doa sebagai perantara untuk mengubah takdir, sehingga setiap insan yang merindui kebenaran Illahi memohon dan bermunajat mengharapkan keampunan dan keredhaan daripadaNya. Rasulullah menjadikan doa sebagai senjata yang ampuh dan kubu yang kukuh serta tempat berteduh disaat suka dan duka. Maka selayaknyalah kita mengikut jejak langkah Rasul dalam bermohon dan berdoa kepada Illahi.
Dalam menghadapi kehidupan yang serba mewah dan canggih ini, ramai manusia tidak mampu membezakan garis pemisah antara kebenaran dan kekeliruan. Bagi jiwa yang tidak mendapat nur hidayah atau cahaya petunjuk, mereka menganggap kebenaran itu bagai ranjau-ranjau yang berduri. Sebaliknya, mereka merasakan bahawa kesesatan dan kekeliruan itu bagaikan taman indah yang dipenuhi dengan bunga-bunga yang berwarna-warni.
Para hamba Allah adalah mereka yang patuh dan sujud hanya kepada Allah S.W.T. Jiwanya merindui kebenaran, keperibadiannya indah dan mulia, lidahnya hanya menyebut yang haq, tidak berkata melainkan kebenaran semata. Sebaliknya hamba syaitan itu tidak mampu membezakan antara kilauan permata dan sinaran kaca. Bagi mereka kesesatan itu bagaikan meneguk air ketika dahaga. Firman Allah: "Perbandingan kedua golngan itu iaitu orang-orang kafir dan orang-orang mukmin, seperti orang buta tuli dengan orang yang dapat melihat dan mendengar"(HUD: 24).
Iman menumbuhkan tunas semangat dalam setiap langkah dan perjuangan seorang insan kerana ia merupakan cahaya makrifatullah yang menguak tabir hitam dalam kalbu. Dari situ tumbuh subur cita-cita dan harapan kerana sesungguhnya kehidupan ini merupakan kumpulan keinginan dan hasrat untuk memperolehi kebahagiaan. Bagi insan yang berpegang pada dahan yang kukuh, maka ia akan memperoleh kenikmatan untuk berpaut dan berteduh.
Rasa rindu yang mendalam mencengkam dalam relung hati insan yang memperoleh nur hidayah. Segenap jiwa dan raga tertumpu kepada harapan untuk memperoleh redha Allah dan gementar dengan kemurkaanNya. Sesungguhnya bertaqarrub kepada Illahi, dengan panduan dan pedoman yang diberikanNya akan menjadikan seseorang sentiasa berada di atas jalan yang lurus.
Tiada kenikmatan yang lebih bererti melainkan dapat menikmati kelazatan dan kemanisan dalam bermujahaddah kepada Allah dengan menempuh jalanNya. Semuga belum terlambat untuk kita berusaha segenap upaya dengan harapan beriring doa bagi menggolongkan diri sebagai hamba dan kekasih Allah, insan terpimpin dan terpilih sebagai penghuni taman syurgawi di akhirat kelak.
Posted by syurgafirdausi at 4:36 AM 0 comments
Sunday, June 6, 2010
Siapakah yang memperkenankan Doa orang yang Dalam Kesulitan, Apabila dia berdoa PadaNya".
Siapakah yang akan menghilangkan petaka dan mara bahaya? Siapakah yang dipohon pertolongannya ketika petaka dan mara bahaya datang? Siapakah yang dirayu perlindungannya oleh sekalian makhluk? Kepada siapakah manusia akan kembali? Kepada siapakah manusia meminta? Siapakah yang selalu diingat oleh manusia? Siapakah dia yang Maha Esa?
Cuba lontarkan segala persoalan-persoalan tersebut ke lubuk kalbu kita. Cuba telusuri segala persoalan itu dengan minda yang tenang, agar dapat kita temui segala jawapannya. Andai itu boleh kita lakukan, nescaya kita akan lebih mengerti siapa diri kita dan untuk apa kita dihadirkan ke dunia ini.
Dia adalah Allah yang tiada Tuhan selainNya. Merupakan kewajipan kita semua untuk selalu berdoa dan meminta kepadaNya baik dalam keadaan terhimpit atau pun lapang, senanag atau susah. Kita meminta bantuanNya agar dia menghindarkan kita dari kebingungan, meminta bantuanNya ketika ada bencana dan bergabung bersama orang yang memohon dengan penuh tangis dan harap di pintuNya untuk mendapatkan keampunan dan rahmatNya.
Ketika itu, akan datang kepada kita bantuannya, akan datang pertolongannya, akan datang kepada kita kelapangan daripadaNya. Dia akan menghamparkan jalan keluar bagi kita, menyelamatkan kita, mengembalikan yang hilang, menghilangkan segala mara bahaya, membantu yang dizalimi, mengembalikan yang tersesat, menyembuhkan yang sakit dan melapangkan yang susah. Firman Allah: "Maka apabila mereka naik kapal, mereka berdoa kepada Allah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya"(Al-Ankabut: 65).
Saya tidak akan menyusun satu persatu untaian doa-doa untuk menghilangkan segala kecemasan, kegundahan dan kesedihan anda. Cukuplah anda sendiri cari lafaz-lafaz doa dari Al_Quran dan hadis yang banyak dibukukan yang dijual di kedai-kedai toko buku. Ataupun anda berdoa menggunakan bahasa anda sendiri yang anda faham ertinya, kerana Allah itu Maha Tahu semua bahasa manusia.
Jika anda menemukan jalan menuju Allah, ini bermakna anda telah menemukan segala-galanya. Namun jika anda kehilangan keimanan dalam diri anda, itu ertinya anda telah kehilangan segala-galanya. Demikianlah hakikatnya. Demikianlah yang harus kita selalu ingat dan insafi pada setiap perjalanan hidup kita di muka bumi ini.
Jika anda menyeru Tuhan anda, itu sudah merupakan salah satu bentuk ibadah dan ketaatan merupakan cara kedua untuk mendapatkan apa yang anda inginkan. Seseorang bebas untuk berdoa, tanpa rasa takut, cemas, sedih dan merasakan tekanan. Firman Allah: "Katakanlah: Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapka Allah untuk kami. Dialah pelindung kami dan hanya kepada Allah orang-orang yang beriman itu harus bertawakkal".(AT-Taubah: 51).
Setiap tali akan putus kecuali tali Allah. Setiap pintu akan tertutup kecuali pintu menuju Allah. Setiap jalan akan roboh kecuali jalan yang melorongkan kita kepada Allah. Setiap jambatan akan runtuh kecuali jambatan yang menghubungkan kita dengan Allah. Allah adalah Tuhan yang Maha Dekat, Maha Menjawab permintaan hambaNya dan Maha Mendengar. Firman Allah:"Atau siapakah yang memperkenankan (doa) orang yang dalam kesulitan apabila ia berdoa kepadaNya. Dan yang menghilangkan kesusahan",(An-Naml: 62).
Dia menyuruh kita yang lemah, fakir dan selalu memerlukannya untuk berdoa kepadaNya Yang Maha Kaya, Maha Kuat dan Maha Mulia. Ini kerana upaya yang kita miliki selamanya terhad. Segala tenaga yang kita miliki selamanya bersempadan. Segala kebijaksanaan yang kita miliki selamanya terbatas. Segalanya tidak boleh menjanjikan apa-apa kepada kita melainkan diiringi izin dan perkenanNya. Justeru, mohonlah kepadaNya setelah segala usaha dan ikhtiar kita lakukan sehabis kemampuan kita. Jangan sesekali lupa untuk berdoa dan bermohon kepadanya kerana itu tanda betapa kita sentiasa menginsafi tentang kekuasaan dan keagunganNya. Firman Allah: "Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Ku perkenankan bagimu". (Ghafir; 60).
Jika kesusahan telah hilang, jika kebahagiaan telah datang maka berzikirlah selalu kepadaNya, memujinya tanda kita bersyukur dan berterima kasih di atas segala pertolongan dan kurniaanNya. Mintalah bantuanNya, mohonlah pertolonganNya, sentuhkanlah kening anda di hamparan sejadah untuk memuliakanNya, sentuhkanlah hidung anda ke tanah bersujud sebagai tanda penghambaan diri kepadaNya. Semua ini bertujuan agar anda mendapatkan kejayaan yang lebih besar. Bentangkanlah tangan anda, angkatlah kedua telapak tangan anda, gerakkanlah lidah anda, perbanyakkanlah permintaan kepadaNya kerana dia menyukai jika hambaNya berbuat demikian. Berdirilah di muka pintuNya, saksikanlah kelembutanNya, berbaik sangkalah kepadaNya, melangkahlah selalu kepadaNya hingga anda benar-benar hampir denganNya lantas mendapat kebahagiaan dan kejayaaan dalam hidup anda di dunia dan akhirat.
Posted by syurgafirdausi at 4:02 AM 0 comments
