Hati itu terbahagi 2 bahagian.
1. Hati Jismani. iaitu hati sebagai bahan bendanya (hati). Hati ini yang disebut dalam Hadis: "Sungguh dalam tubuh manusia ada segumpal daging; apabila dia baik, maka baiklah seluruh tubuh dn apabila dia jahat, maka akan celakalah seluruh tubuh. Dia itu adalah Hati" (HR Bukhari). Hati jismani ini adalah dalam bahasa Arabnya disebut, "Kibdun", dia dapat disaksikan dengan pancaindera dan dapat juga disaksikan tugas-tugasnya berhubung dengan jismani. Dia terletak dalam dada sebelah kiri dan bermuaranya urat-urat darah dalam tubuh. Antara tugas lain ialah- menukarkan zat-zatnya dalam tubuh dan menyahkan zat-zat beracun.
2. Hati Nurani (Ruhani). Iaitu hati yang dalam bahasa Arabnya disebut,"Qalb" atau "Fu'aad" iaitu tenaga dan kekuatan dari hati jismani (Kibdun) dan sifat ruhaninya sahaja , bukan dari sifat bendanya. Dalam bahasa Melayu, antara lain dia digunakan dalam rangkaikata-rangkaikata : ada hati; busuk hati; hati mulia, dan sebagainya.
Jadi disebalik hati jismani (seketul daging), itu terdapat abstrak (maknawi)yang tidak dapat disaksikan oleh pancaindera iaitu kekuatan atau tenaga yang tersembunyi, hati yang berfungsi dari segi ruhani inilah yang ditujukan oleh sabda Nabi, bermaksud: "Sungguhnya Allah tidaklah memandang kepada rupa paras kamu dan tidak pula kepada perawakan badan kamu, pun tidak kepada harta benda kamu, tetapi Dia memandang kepada isi hati-hati kamu dan gerak amalan kamu"(HR At-Tabrani).
Menurut ahli Falsafah Islam terkenal Imam Al-Ghazali:
"Al-Qalb" itu mengandungi 2 makna:
1. "Al-Qalb" (Hati) ialah segumpal daging yang berbentuk bujur dan terletak di dada sebelah kiri, yang mempunyai tugas-tugas tertentu (para doktor perubatan lebih arif..)
2. "Al-Qalb" (Hati) dalam erti yang halus bersifat ketuhanan dan ruhaniyah yang ada hubungannya dengan hati jismani tadi. Hati dalam erti kedua ini adalah hakikat manusia yang dapat menangkap segala pengertian, berpengetahuan dan 'arif'. Iaitu manusia yang menjadi sasaran dari segala perintah dan larangan Allah, yang akan diseksa, dicela dan dituntut segala amal perbuatannya.
Kesimpulannya: Hati manusia itu mempunyai dua peranan iaitu: peranan jismani dan peranan ruhani.
(Dipetik dari buku "Kedudukan Niat dan Ikhlas Dalam Islam", oleh Abdullah Al-Qari, Pustaka Asa Kenali Kelantan, 1988).
Wednesday, October 20, 2010
Persoalan HATI....
Posted by syurgafirdausi at 4:36 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

0 comments:
Post a Comment