BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, February 4, 2010

Perangai gopoh-gapah amalan keji syaitan

Sebuah hadis yang diriwayatkan dari Imam At-Turmuzi no.hadsi 2012 bermaksud,"Gopoh-gapah itu merupakan sifat syaitan". Di dalam kitab 'La Tahzan' karya Dr.Aidh Abdullah aL-Qarani berkata: "Orang yang pintar jika ingin mengambil satu tindakan atau keputusan ia perlu mengkaji terlebih dahulu serta memikirkan segala akibat dan menimbang hasil baik buruknya. Kemudian barulah dilaksanakan tindakan atau keputusan dengan penuh ketetapan hati dan berhati-hati. Sikap seperti ini sudah tentu tidak akan melahirkan penyesalan di kemudian hari nanti. Seandainya sesuatu perkara terjadi sesuai dengan pengharapannya nescaya ia bersyukur kepada Allah dan jika yang berlaku adalah sebaliknaya ia menganggap sebagai takdir Allah serta redha menerima dengan tenang hati.

Syeikh Muhammad Soleh Al-Uthaimin pernah berkata, sifat tenang yakni tidak bergopoh dalam semua urusan kerana berapa ramai manusia binasa dan tersilap langkah dengan sebab gopoh-gapah dalam urusan hidup mereka. Ini samada menmindahksn berita atau khabar, menghukum apa yang didengar atau sebaginya.

Menurut kamus Dewan edisi ke 4, didefinisikan bahawa gopoh ialah- cepat-cepat, lekas-lekas, terburu-buru atau tergesa-gesa. Manakala kegopohan pula bererti, perihal tergesa-gesa atau terburu-buru.

Daripada Ibnu Abas r.a. Nabi SAW bersabda kepada Asyaj Abd.Al-Qais, bermaksud: "Sesungguhnya pada kamu terdapat dua sifat, Allah suka kedua-duanya. Lemah lenbut dan tenang".

Muawiyah Abu Suffian r.a. mempunyai ladang di Kota Madinah yang hampir dengan ladang Abdulah Zubair r.a. Pekerja Muawiyah menceroboh masuk ke ladang Abdullah . Ini menyebabkan beliau marah. Permusuhan di antara kedua sahabat memang sudah lama terpendam. Lalu dia menulis sepusuk surat kepada Muawiyah yang isinya:"Kepada Muawiyah bin Kindun, si pemakan hati (Hamzah Abd. Muttalib) pekerjamu telah menceroboh masuk ke kawasanku . Perintahlah ia supaya keluar sekarang juga dari kawasan ladangku. Demi Allah tiada Tuhan selain Dia, jika kamu tidak memenerintahkan keluar maka terimalah padah akan menimpa dirimu".

Muawiyah dikenali sebagai seorang yang berjiwa penyabar dan berjiwa besar. Sebaik saja menerima surat dia membaca dan kemudian memberikan kepada anaknya Yazid. Lalu dia meminta pendapat dan idea anaknya, bagaimanakah pendapatmu tentang isi surat Ibn Zubair yang telah memberi amaran kepadaku? Yazid menjawab," Kirimlah pasukan seramai mungkin dan pastikan mereka berjaya membawa kepala Zubair kepadamu. Tindakan Muawiyah hanya untuk melatih anaknya supaya sabar dan tidak panas baran dan terburu-buru. Muawiyah tidak setuju dengan tawaran anaknya malah dia brkata;"Aku akan membalasnya dengan cara yang lebih baik sehingga kita tetap menjalin hubungan silaturahim dengannya"

Kemudian Muawiyah mengirim sepucuk surat kepada Ibn Zubair yang kandungan suratnya:"Daripada Muawiyah Abu Suffian, kepad Abdullah al-Zubair bin Asma:"Selanjutnya demi Allah tiada Tuhan selain Dia, seandainya dunia ini hanya dimiliki oleh aku dan kamu, tentu aku akan memberikan semuanya kepada kamu. Seandainya ladangku terbentang dari Kota Madinah hingga ke Damsyik, nescaya aku akan menyerahkan kepadamu. Jika telah menerima surat ini maka ambillah ladangku itu sebagai bahagian dari milikmu dan jadikanlah pekerjaku itu sebagai pekerjamu".

Sebaik sahaja surat itu diterima dan dibaca oleh Ibnu Zubair, dia terus menangis sehingga air matanya membasahi surat itu lalu dia berangkat ke Damsyik untuk menemui Muaiwayah. Sesampainya di sana, dia mengucap salam dan mencium kepalanya, sambil berkata:"Semuga Allah tidak menghilangkan sifatmu yang penyabar. Inilah sifat yang aamt dibanggakan oleh bangsa Quraisy dan ternyata kamu mewarisi sifat yang mulia ini".

Firman Allah bermaksud,"Sesungguhnya, mereka (orang kafir) lebih menyukai kehidupan dunia dan mereka tidak memperdulikan kesudahan mereka, pada hari yang amat berat (hari akhirat). (Al-Insan: 27). "Sesekali janganlah demikian, sebenarnya kamu (wahai manusia!), lebih mencintai kehidupan dunia. Dan meninggalkan (kehidupan akhirat). (Al-Qiamah: 20 & 21). Wallahu'lam.

1 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum. Memang semua orang tahu sikap gopoh gapah itu tidak elok dan merupakan salah satu sifat syaitan yang suka menyesatkan setiap hamba Allah di dunia ini. Salah satu sifat gopoh gapah manusia yang jelas kita lihat ialah sepeti sikap sepasang kekasih yang selalu suka memberi harapan kepada kekasihnya itu dan ini dan selepas itu dia sendiri yang menarik diri dan menyatakan ketidaksanggupannya untuk meneruskan hubungan. Adakah itu sikap yang baik? Ini contoh je.. Jadi, kita jangan suka bersikap gopoh dan gapah. Wallahua'lam.