Hendaklah kita ketahui bahawa kematian itu hanya sekali saja, iaitu di dunia ini. Kematian tidak akan berlaku berulang kali. Setiap kita pasti mati, tidak sesiapa pun yang tidak mati. Dunia pada akhir zaman ini, lazimnya manusia jangka hayatnya antara 60 hingga 70 tahun sahaja. Jika ada yang berlebih pun hanya beberapa tahun sahaja. Jarang-jarang yang dapat mencapai usia 80an walaupun dia bercita mahu hidup 'seribu tahun lagi...'.
Hidup yang abadi ialah di akhirat. Berbahagialah yang mendapat balasan di syurga. Sementara celakalah mereka yang menjadi penghuni neraka. Allah berfirman:"Dan adapun orang-orang yang berbahagia, maka mereka ditempatkan di dalam syurga, mereka kekal di dalamnya"(Hud: 108).
Nabi S.A.W. ada bersabda,"Penyeru berkata,'Kalian akan selalu sihat dan tidak akan terkena penyakit selamanya, selalu hidup dan tidak akan mati selamanya, selalu dalam usia muda dan tidak akan menua selamanya, serta kalian selalu mendapat nikmat dan tidak akan diseksa selamanya". Hal ini sesuai dengan firman Allah bermaksud,"Dan diserukan kepada orang-orang yang beriman, inilah syurga yang diwariskan kepadamu kerana apa yang telah kamu kerjakan" (Al-A'raaf: 43).
Dari Abu Said Al-Kudri r.a. ia berkata, Rasulullah S.A.W. bersabda,"Kematian di datangkan pada Hari Qiamat, seakan-akan ia seperti kambing kibas yang dihias elok dan berhenti di antara syurga dan neraka. Dikatakan, "Hai ahli syurga, apakah kalian mengetahui apa ini?".Kemudian mereka melihat dan berkata,"Benar, ini adalah kematian". Kemudian dikatakan, "Hai ahli neraka, apakah kalian mengetahui apa ini?". Kemudian mereka melihatnya dan berkata,"Benar, ini adalah kematian". Kemudian mereka diperintahkan untuk menyembelihnya, dan Allah S.W.T. berkata kepada mereka,"Wahai ahli syurga, kalian akan abadi dan tidak akan mati, dan wahai ahli neraka, kalian akan abadi dan tidak akan mati. Kemudian Rasulullah S.A.W. membaca ayat,"Dan berilah mereka ancaman tentang hari penyesalan, iaitu ketika diselesaikan segala urusan mereka, sedang mereka (sekarang ini) dalam keadaan lalai sedang mereka tidak beriman" (Maryam: 39).
Tuesday, March 2, 2010
Relung Cahaya: Syurga Adalah Abadi
Posted by syurgafirdausi at 2:53 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

0 comments:
Post a Comment